ITTIHAD TULLAB LUGHAH ARABIAH

Saturday, January 26, 2013

PERUTUSAN MAULIDUR RASUL


PERUTUSAN MAULIDUR RASUL 1434H PRESIDEN MPM KUIN SESI 2012/2013

Alhamdulillahirabbil’alamin, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T. kerana atas izinNya, kita memiliki nikmat Iman dan Islam hasil jerih payah kekasihNya, Rasulullah S.A.W. yang memerah keringat dan bertumpah darah demi menyempurnakan agama Allah di muka bumi ini. Selawat dan salam diucapkan kepada Baginda S.A.W., utusan Allah yang tercinta, yang telah menunjukkan jalan buat para mukmin untuk hidup di dunia dan membawa ke akhirat mengikut syariat Islam supaya kita senantiasa berada di bawah redha Allah S.W.T.

Setiap kali tiba bulan Rabiul Awwal, umat Islam menyambut hari kelahiran Rasulullah S.A.W. dengan pelbagai majlis dan acara. Di Malaysia, pelbagai agensi dan institusi, terutamanya masjid dan surau, mengadakan ceramah, perarakan, forum, kenduri dan lain-lain, demi memperingati kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W., yang telah membawa Islam yang menerangi jalan kehidupan manusia di atas muka bumi ini.
Kita melihat pada hari ini, manifestasi kecintaan kepada Rasulullah hanya dihidupkan setahun sekali. Namun yang menyedihkan bagaimana sirah perjuangan Rasulullah tidak benar-benar dihayati dalam kehidupan seharian bahkan ada yang menolak ajaran Nabi S.A.W. Kita melihat bagaimana Islam yang dibawa Rasulullah hanya diamalkan pada masa-masa tertentu. Hasilnya, kita melihat keadaan pada ketika ini yang sarat dengan masalah sosial, rasuah, penindasan ke atas mereka yang lebih lemah dan bermacam-macam lagi hasil daripada pengabaian dan penolakan sunnah Rasulullah S.A.W. 
”Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang sholeh”. (HR: Bukhari)
“Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkannya kepadamu (Wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kufur kepada cahaya iman, dengan izin Tuhan mereka, ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.” (Surah Ibrahim: 1)

Bagaimanapun perasaan bersyukur dan berterima kasih atas nikmat agung ini tidak seharusnya terhad dengan sambutan Maulidur Rasul semata-mata. Sesungguhnya sambutan Maulidur Rasul hanyalah sebagai peringatan akan tanggungjawab yang terpikul di atas bahu setiap umat baginda, iaitu untuk meneruskan tugas Rasulullah S.A.W. memberikan petunjuk dan bimbingan kepada umat manusia, memimpin mereka ke arah jalan yang betul dan diredhai Allah. Kita sebagai umat Islam bertanggungjawab memimpin umat yang lain, bukan sebaliknya.

Islam merupakan agama yang bernyawa dan dominan dalam kehidupan. Ia bukan sekadar istiadat dan upacara kaku, sebagaimana agama-agama lain. Sebaliknya Islam adalah satu cara hidup yang dihayati dari tahap individu dalam kehidupan peribadi, sehinggalah ke tahap negara dalam hubungan antarabangsa. Islam pernah memerintah dan mentadbir urusan dunia. Umat Islam pernah menjadi pemimpin dan teladan bagi umat-umat yang lain. Pencapaian hebat itu adalah hasil apabila umat Islam mempraktikkan ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W. dalam segenap aspek kehidupan mereka.

Umat Islam mesti menjadi teladan bagi kaum-kaum lain, sebagaimana Rasulullah S.A.W. mencapai kedudukan dihormati kaumnya ketika baginda masih muda. Gelaran “al-Amin”, yang bermaksud dipercayai, adalah aset akhlak yang digunakan oleh baginda ketika melancarkan dakwahnya di bukit Sofa, “Apakah pandangan kamu jika aku katakan bahawa ada tentera berkuda yang sedang bersiap siaga di sebalik wadi ini untuk menyerang kamu, adakah kamu mempercayai aku?” Mereka menjawab: “Kami tak pernah melihat kamu berdusta”.

Justeru ketibaan bulan Rabiul Awwal ini semestinya memberikan kita kesedaran betapa mengamalkan ajaran Islam sebenar dalam kehidupan peribadi, berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara merupakan tuntutan yang amat mendesak ke atas umat Islam. Usaha ini perlu dimulakan dengan teladan daripada mereka yang bergelar pendakwah. Sesungguhnya dakwah yang paling berkesan ialah dengan tindakan dan contoh teladan. Kesan yang ditinggalkan oleh tindakan dan teladan ke dalam hati berkali ganda lebih hebat daripada kesan yang ditinggalkan oleh kata-kata nasihat.

Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1434 Hijriah ini, Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti INSANIAH menyeru agar semua individu muslim, para pemimpin amnya dan semua mahasiswa/mahasiswi khususnya, agar kembali menghayati akhlak Islam dalam segenap lapangan kehidupan. Akhlak Islam adalah berasaskan akidah yang sejahtera. Tanpa akidah tauhid, sebarang perbuatan yang dipandang baik, sama ada dalam soal peribadi atau kepimpinan, merupakan akhlak yang pincang, kerana mengetepikan ketuhanan Allah Yang Maha Esa, Yang Maha Mengetahui perkara yang baik dan buruk bagi hamba-Nya. Seterusnya mantapkanlah akhlak itu dengan ibadah yang betul dan berterusan. Dirikanlah solat kerana ia mencegah perbuatan mungkar, tunaikanlah zakat kerana ia menyucikan jiwa dan harta, berpuasalah kerana ia membenihkan ketakwaan. Ibadah-ibadah sunat mampu memantapkan lagi akhlak seseorang hamba.

“SIIRU 'ALA BARAKATILLAH WA MAGHFIRATILLAH”

" MEMIMPIN KESATUAN, MENJANA KECEMERLANGAN "

WAN MOHD SHAHRIZAN BIN MOHAMED YATIM
Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa,
Kolej Universiti INSANIAH. 
Sesi 2012/2013

Email Facebook Translate Google Blogger Yahoo Login

 
SENTUHAN OLEH : MOHD DAHARUDIN BIN HAJI DAUD | KULLIYYAH BAHASA ARAB INSANIAH